Wanita rempuh pelajar UiTM tak pernah terima rawatan mental di Terengganu

Wanita rempuh pelajar UiTM tak pernah terima rawatan mental di Terengganu

Pengarah Kesihatan Terengganu berkata semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.

Wanita berusia 49 tahun yang melanggar dua motosikal hingga mengakibatkan tiga penuntut UiTM maut kini ditahan reman untuk siasatan. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Pemandu wanita yang dipercayai sakit mental dan melanggar dua motosikal hingga mengakibatkan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun maut Rabu lepas didapati tidak pernah mendapat rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan negeri ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Kasemani Embong berkata pihaknya telah membuat semakan dan mendapati wanita berusia 49 tahun terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.

“Bagaimanapun kita (Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu) tidak pasti jika dia (wanita) ada dapat rawatan di tempat atau negeri lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai yang mempunyai ahli keluarga mengalami masalah mental supaya tampil mendapatkan rawatan.

“Masyarakat perlu ubah mentaliti mengenai penyakit mental. Usah malu untuk dapatkan rawatan.

“Ahli keluarga dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada mereka (pesakit mental) untuk mendapat rawatan sewajarnya dan sembuh seperti sediakala,” katanya.

Kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun itu menyebabkan Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang menaiki motosikal Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.

Pemandu wanita terbabit kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.