USD120 juta masuk akaun bukan pendapatan peribadi, kata Najib

USD120 juta masuk akaun bukan pendapatan peribadi, kata Najib

Bekas PM itu juga memberitahu mahkamah, dana itu bukan datangnya daripada SRC International mahupun KWAP.

Najib Razak
SRC International memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib Razak bertanggungjawab atas kerugian dialaminya dan menuntut bekas PM itu membayar pampasan RM42 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa USD120 juta yang dikreditkan ke dalam akaun banknya melalui tiga transaksi bukanlah pendapatan peribadinya, mahupun berasal daripada SRC International Sdn Bhd atau Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib selaku defendan pertama berkata demikian ketika disoal oleh peguam SRC International, Lim Chee Wee, pada perbicaraan kes saman syarikat itu sebanyak USD1.18 bilion terhadap beliau dan bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Lim: Jom kira gaji tahunan anda berdasarkan jumlah paling tinggi, katakanlah RM1 juta … tetapi wang sebanyak USD$120 juta dikreditkan ke dalam akaun peribadi anda. Itu bukanlah daripada sumber pendapatan peribadi anda, betul kan?

Najib: Saya tidak pernah kata begitu.

Lim: Saya perlu tanya kerana anda tidak pernah menyentuh mengenai perkara ini di mahkamah.

Najib berkata, berdasarkan dokumen yang dikaji dan dianalisis oleh pasukan pembelaannya, dapat disimpulkan bahawa USD120 juta itu bukan berasal daripada dana SRC International atau KWAP namun beliau menyerahkan perkara itu kepada mereka untuk dihujahkan kerana aliran wang tersebut adalah kompleks.

Apabila ditanya sama ada beliau mengarahkan pihak polis, Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat akaun SRC International yang dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland, Najib berkata “Tiada arahan berkaitan akaun terbabit tetapi saya memaklumkan pihak pengurusan syarikat agar berusaha mendapatkan kembali wang itu.”

Ditanya sama ada beliau meminta pihak berkuasa terbabit memberikan laporan (mengenai siasatan berkaitan akaun yang dibekukan), Najib berkata: “Saya menjangkakan mereka akan berbuat demikian kerana penting untuk mereka berbuat demikian.”

Pada Mei 2021, SRC International bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Sebelum ini, SRC International menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC International memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami olehnya akibat pelanggaran tugas dan amanah serta menuntut Najib membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.