
Facebook Selangor Royal Office memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu jawatankuasa khas dibentuk kerajaan negeri untuk menangani isu itu menghasilkan kertas kerja terperinci.
Menurutnya, langkah itu untuk mengenal pasti kaedah terbaik memulihkan kanak-kanak diselamatkan dari rumah amal kendalian GISBH sebelum ini.
“Baginda mahu perkara ini dikendalikan dengan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak terbabit.
“Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada DYMM Tuanku Sultan serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Hantaran itu turut memaklumkan Sultan Sharafuddin menerima menghadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor Salehuddin Saidin bagi membincangkan perkara terbabit.
Semalam, jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang terkait GISB mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.
Kerajaan Selangor menubuhkan jawatankuasa khas itu untuk memulihkan kanak-kanak diselamatkan di rumah amal GISBH di negeri terbabit.
Pasukan itu bukan hanya menumpukan kepada usaha pemulihan isu akidah tetapi kebajikan, kesihatan, perkembangan mental serta fizikal.