
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi yang bersetuju dengan kenyataan pemimpin DAP, Liew Chin Tong bahawa PRU16 ujian kemampuan kerajaan perpaduan, berkata kepercayaan antara parti dalam gabungan perpaduan melibatkan pembahagian kerusi, persefahaman jentera dan manifesto.
“Ujiannya di PRU16. Ia melibatkan pembahagian kerusi, persefahaman jentera dan manifesto. Kuncinya ‘trust’. Jika momentum (PRK) Mahkota kekal dan terus diperbaiki, tidak mustahil kerajaan perpaduan menang besar.
“Apatah lagi jika tempoh hingga Disember 2027 tidak dipersia-siakan,” katanya dalam catatan Facebook.
Semalam, Liew yang juga timbalan setiausaha agung DAP, berkata usaha mesti dibuat untuk meyakinkan ahli DAP, penyokong, dan rakyat Malaysia semua adalah pembina negara.
Katanya, PRU16 juga ujian kemampuan gabungan perpaduan membina gabungan politik baharu di Malaysia demi menjadikan negara ini lebih kukuh dan stabil.
Puad yang juga Adun Rengit berkata, menteri dan kerajaan mesti membuktikan kepada rakyat, mereka memberikan perkhidmatan berprestasi tinggi.
“Tidak ada formula karut dan jadi bahan jenaka,” katanya.
Mandat kerajaan perpaduan akan berakhir Disember 2027.