Pembangunan bandar pintar belum sesuai di Labuan, kata Ahli Parlimen

Pembangunan bandar pintar belum sesuai di Labuan, kata Ahli Parlimen

Suhaili Abdul Rahman bimbang penggunaan teknologi canggih untuk memantau aset berpotensi mengganggu privasi individu.

bandar-labuan
Suhaili Abdul Rahman berkata Labuan memerlukan pelabuhan canggih dan pembangunan industri hiliran berasas gas dan metanol. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan berpendapat pembangunan bandar pintar belum sesuai di kepulauan itu, sebaliknya menggesa kerajaan fokus pelaburan infrastruktur seperti pelabuhan canggih untuk mengembangkan potensinya.

Suhaili Abdul Rahman berkata konsep itu sesuai di bandar besar seperti Kuala Lumpur antaranya untuk mencegah jenayah, selain menyatakan kebimbangan penggunaan teknologi canggih untuk memantau aset dan sumber berpotensi mengganggu privasi individu.

Menurutnya, keperluan sebenar di Labuan adalah pelaburan infrastruktur untuk melonjakkan ekonomi seperti pelabuhan dan pengembangan industri berasaskan gas selain daripada methanol yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan.

Suhaili Abdul Rahman.

“Air dan elektrik sudah diuruskan dengan baik, tetapi kita memerlukan pelabuhan canggih untuk memudahkan penghantaran barangan keperluan yang kesannya turut dirasai kepada usaha mengurangkan kos sara hidup.

“Kita juta perlu perhebatkan industri hiliran berasaskan gas selain metanol untuk mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya kepada FMT sambil meminta pembangunan Labuan dibuat secara holistik.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata syarikat teknologi China, Huawei, telah menyatakan hasrat melabur dalam teknologi bandar pintar di Labuan.

Penganalisis ekonomi Geoffrey Williams pula berpendapat Labuan perlu ada nilai tambah kepada semua segmen dalam pelaksanaan konsep bandar pintar dan bukan hanya memberi tumpuan kepada perniagaan.

Geoffrey Williams
Geoffrey Williams.

Menurutnya, kejayaan projek ini bergantung kepada kemampuan untuk memenuhi keperluan pengguna dan isi rumah, termasuk meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kos sara hidup.

“Tanpa penyertaan signifikan daripada pengguna dan isi rumah, kemungkinan besar tidak akan berjaya,” katanya sambil menekankan keperluan melibatkan pihak berkepentingan secara menyeluruh dan penilaian komprehensif untuk menjamin kejayaan projek itu.

Sementara itu, Abu Sufian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan pula berkata meskipun rancangan bandar pintar berpotensi membawa kemajuan kepada Labuan, namun ia juga mendedahkan risiko keselamatan kepada negara.

“Teknologi berdaya tinggi mungkin membuatkan kegiatan pengintipan menjadi lebih mudah dan menjejaskan rahsia ketenteraan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.