
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas meneliti hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan daripada peguam K Kumaraendran dan M Athimulan serta Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide selaku perayu.
“Mahkamah mendapati hujahan bertulis yang difailkan adalah mencukupi untuk kami membuat analisis terhadap rayuan, jadi tidak perlu sebarang hujahan tambahan kerana ia hanya akan memanjangkan cerita.
“Mahkamah akan memberikan tarikh keputusan iaitu 18 Nov ini. Kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan perlu diselesaikan segera,” kata Ahmad Zaidi yang turut bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin.
Pada 18 Sept 2023, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Sept 2023 yang membebaskan pasangan itu daripada tuduhan tersebut.
Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette, bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan mereka membela diri.
Bung Moktar, 64, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan agensi itu supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Taman Melawati pada 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Terdahulu, Maziah memohon supaya pendengaran rayuan hari ini ditangguhkan berikutan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How yang mengetuai pendakwaan tidak hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.
“Namun, sekiranya mahkamah masih ingin meneruskan rayuan, saya telah mendapat arahan daripada pengarah kanan bahagian perundangan dan pendakwaan untuk guna pakai sepenuhnya hujahan bertulis yang difailkan pada 20 Jun 2024,” katanya.
Ahmad Zaidi tidak membenarkan permohonan Maziah untuk menangguhkan pendengaran rayuan hari ini atas alas hujahan bertulis perayu adalah jelas dan merangkumi isu berbangkit.
Sementara itu, Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata, terdapat keterangan lisan diberikan dua saksi pendakwaan yang menafikan Bung Moktar menerima atau meminta RM2.8 juta itu, yang merupakan tuduhan rasuahnya.
Beliau berkata, hakim Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri pada 2022, dengan jelas suatu kesilapan, tidak boleh diterima dan menyebabkan ketidakadilan terhadap kedua-duanya.
“Tiada sebarang bukti Bung Moktar menerima atau meminta wang itu. Jika beliau kekal mendiamkan diri, beliau akan dihukum. Jika dia membela diri dan bercakap (dalam sumpah) bahawa beliau tidak mengambil atau meminta wang itu, ia kemudiannya menjadi penafian kosong,” katanya.
“Keputusan hakim Mahkamah Sesyen mengarahkan responden membela diri adalah sangat tidak teratur dan menyebabkan keadilan tidak dilaksanakan kerana tiada kes prima facie telah dibuktikan pihak pendakwaan seperti dalam keterangan direkodkan di Mahkamah Sesyen, untuk mengarahkan pemohon membela diri,” katanya.
Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette memberitahu mahkamah, beliau mempunyai hujah yang sama seperti Athimulan.