Reman 3 individu berkait GISBH dilanjut

Reman 3 individu berkait GISBH dilanjut

Seorang wanita direman sehari manakala selebihnya dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001.

handcuff
Majistret membenarkan reman individu terdiri seorang lelaki dan dua wanita dilanjutkan selepas tempoh reman mereka bermula 1 Okt lalu tamat hari ini.
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret membenarkan lanjutan reman selama satu dan dua hari terhadap tiga individu termasuk seorang pegawai kewangan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Majistret Mohamed Redza Azhar Reza membenarkan reman dilanjutkan terhadap semua individu berusia antara 40 hingga 50 tahun terdiri seorang lelaki dan dua wanita selepas tempoh reman mereka yang bermula 1 Okt lalu tamat hari ini.

Peguam Rosli Kamarudin yang mewakili individu terbabit berkata seorang wanita direman sehari manakala selebihnya dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, mahkamah sama turut membebaskan tiga individu daripada reman termasuk seorang peguam yang dikaitkan dengan GISBH selepas mendapati tiada keperluan untuk menahan mereka selain tidak berpotensi untuk melarikan diri.

“Peguam itu yang merupakan seorang daripada peguam pemerhati sebelum ini ditahan reman polis selama tujuh hari di Changlun, Kedah dan hari ini dia dibebaskan,” katanya.

Polis melancarkan Op Global awal September lalu dan menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan dan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.