
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau hanya mahu mengelak senario guru bukan berasal dari Sarawak akan memohon untuk kembali ke Semenanjung selepas dua tahun berkhidmat di negeri itu, lapor Utusan Borneo.
Katanya, masalah kekurangan guru di Sarawak tidak akan dapat diselesaikan sekiranya guru yang bukan berasal dari negeri itu memohon untuk berpindah selepas beberapa tahun.
“Kita bukannya anti-Semenanjung tetapi kita berkehendakkan tenaga guru tempatan, supaya tidak perlu berpindah balik ke negeri asal.
“Kalau anak Sarawak, mereka tidak memohon berpindah, kalau ada pun perpindahan dalam negeri sahaja,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Pada Isnin lalu, didedahkan seramai 300 pemohon dari luar Sarawak antara 1,700 calon yang disenarai pendek untuk pengambilan khas guru di negeri itu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Roland Sagah Wee Inn, berkata hanya calon dari Sarawak yang harus diterima di bawah inisiatif tersebut.
Abang Johari juga berkata beliau kecewa dengan cara program pengambilan khas guru itu dijalankan.
Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berjanji kepada kerajaan negeri bahawa guru yang bakal dilantik berasal dari Sarawak.
“Namun mereka (SPP) mengubah pendirian dan membuka permohonan kepada orang Semenanjung,” katanya.
Abang Johari berkata, buat masa ini beliau menyerahkan kepada Sagah untuk berunding dengan SPP berhubung program pengambilan khas guru itu.