2 gagal ketepi hukuman mati bunuh Sosilawati

2 gagal ketepi hukuman mati bunuh Sosilawati

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata hukuman mati ke atas bekas peguam dan bekas pekerja ladang itu wajar.

Bekas peguam N Pathmanabhan dan dua pekerja ladang T Thilaiyagan serta R Kathavarayan tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Panel semakan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas dua lelaki kerana membunuh jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya 14 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, berkata hukuman mati ke atas bekas peguam N Pathmanabhan, 55, dan bekas pekerja ladang T Thilaiyalagan, 33, wajar.

Sosilawati Lawiya.

“Dalam menggunakan budi bicara kehakiman kami dan mengambil kira fakta serta keadaan kes, kami menolak permohonan tersebut. Hukuman mati dikekalkan,” kata Tengku Maimun.

Seorang lagi pemohon, R Kathavarayan yang turut memfailkan permohonan semakan sama sebelum ini, menarik balik permohonannya hari ini, peguamnya Latheefa Koya memberitahu mahkamah.

Ketiga-tiganya memohon hukuman mati mereka ditukar kepada hukuman penjara berdasarkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, yang memberikan hakim budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Turut bersidang mendengar permohonan itu ialah Hakim Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mei 2013 menyabitkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan bersalah membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 hingga 9.45 malam 30 Ogos 2010.

Rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 4 Dis 2015 serta 16 Mac 2017.

Pada awalnya, empat lelaki dihadapkan ke mahkamah, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudian membebaskan R Matan, 33, selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkannya dengan pembunuhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.