2 ahli pembangkang Iran dihukum mati kerana intip untuk Israel

2 ahli pembangkang Iran dihukum mati kerana intip untuk Israel

Hukuman gantung itu yang terbaru membabitkan banduan dianggap kumpulan hak asasi sebagai tahanan politik yang dituduh mengintip untuk Israel.

Iran
Iran negara kedua di dunia paling banyak melaksanakan hukuman mati selepas China. Sekurang-kurangnya 1,639 hukuman mati dilaksanakan tahun lalu, tertinggi sejak 1989. (Gambar EPA Images)
TEHRAN:
Iran pada Isnin melaksanakan hukuman mati ke atas dua anggota kumpulan pembangkang, Mujahidin Rakyat Iran (MEK) yang disabitkan bersalah kerana mengintip untuk Israel, dengan ketua kehakiman memberi amaran tiada kelonggaran akan diberikan.

Mohammad Masoom Shahi, 38, yang juga dikenali Nima dan Hamed Validi, 45, dihukum mati pada waktu subuh di penjara Karaj di luar Tehran, kata sayap politik MEK, National Council of Resistance of Iran (NCRI) dalam kenyataan.

Kedua-duanya merupakan ahli MEK, yang diharamkan di Iran.

Hukuman gantung itu yang terbaru bagi banduan dianggap kumpulan hak asasi manusia sebagai tahanan politik semasa perang antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Sejak hukuman mati disambung semula bulan lalu semasa perang meletus 28 Feb lepas, lapan ahli MEK dan tujuh lelaki disabitkan kesalahan memprotes Januari lalu telah dihukum mati.

“Dengan hukuman mati hari ini, sekurang-kurangnya 15 tahanan politik dihukum mati sejak 19 Mac lali,” kata Mahmood Amiry Moghaddam, pengarah kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Norway, Iran Human Rights (IHR).

Beliau memberi amaran berhubung “hukuman mati lanjut ke atas tahanan politik dan penunjuk perasaan dalam beberapa hari serta minggu akan datang”.

Tuntutan utama

Laman web badan kehakiman, Mizan Online, berkata dua lelaki itu merupakan “ahli rangkaian pengintip yang mempunyai kaitan dengan Mossad”, iaitu perkhidmatan risikan Israel.

Ia berkata, kedua-duanya disabitkan kesalahan “moharebeh”, iaitu melancarkan perang menentang Tuhan serta “bekerjasama dengan kumpulan musuh dan rejim Zionis”.

NCRI bagaimanapun menyifatkan tuduhan terhadap dua lelaki itu “tidak masuk akal” kerana mereka ditahan pada Mei 2025, sebelum perang tahun ini bermula atau perang 12 hari Israel dengan Iran pada Jun tahun lalu.

Hukuman gantung terbaru itu berlaku ketika Ketua Badan Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei – tokoh paling berprofil tinggi yang terselamat daripada perang setakat ini – mengeluarkan amaran kepada mereka yang “bekerjasama dengan penceroboh ganas”.

“Individu terbabit pembunuhan dan pengintipan, melakukan tindakan mengganggu yang lain, menghantar imej dan video kepada musuh, atau terbabit aktiviti dalam talian, propaganda serta menyebarkan pembohongan bagi menyokong kepentingan tidak sah musuh – semuanya termasuk dalam kerangka sama.

“Semua kes itu akan ditangani dengan tegas dan tanpa sebarang kelonggaran,” katanya dipetik Mizan Online.

Iran merupakan negara kedua di dunia paling banyak melaksanakan hukuman mati selepas China, menurut kumpulan hak asasi berpangkalan di luar negara, yang menuduh republik Islam itu menggunakan hukuman mati sebagai alat untuk menyemai ketakutan dalam masyarakat.

Pihak berkuasa Iran melaksanakan sekurang-kurangnya 1,639 hukuman mati tahun lalu, tertinggi sejak 1989, menurut laporan bersama IHR dan kumpulan berpangkalan di Paris, Together Against the Death Penalty (ECPM) yang dikeluarkan minggu lalu.

Dengan kemungkinan rundingan damai antara Iran dan AS diadakan dalam beberapa hari lagi, Amiry Moghaddam berkata: “Pemberhentian semua hukuman mati dan pembebasan tahanan politik perlu menjadi tuntutan utama dalam sebarang perjanjian dengan republik Islam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.