Sebutan semula kes bunuh Farah Kartini 10 Dis

Sebutan semula kes bunuh Farah Kartini 10 Dis

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa laporan kimia dan laporan bedah siasat belum diperoleh.

Pada 26 Julai lalu, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, yang bertugas di Perak didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini menetapkan 10 Disember bagi sebutan semula kes anggota polis yang didakwa membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan kimia dan laporan bedah siasat masih belum diperoleh, lapor Berita Harian.

Peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh tidak membantah namun memohon tarikh sebutan yang lebih lama.

Turut hadir, tiga peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Mohd Norazihan Adnan, Luqman Hakim Azhar dan Goh Chee Kian.

Pada 26 Julai lalu, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, yang bertugas di Perak didakwa membunuh Farah Kartini di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira 6 petang lima hari kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.