
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu akan dibangunkan bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai tabiat membaca, jenis bahan bacaan yang diminati dan frekuensi membaca dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, hasil kajian ini penting untuk memberi maklum balas berhubung kadar semasa pembacaan rakyat agar seimbang dengan kadar literasi iaitu 97% mengikut standard Unesco.
“IMK adalah satu cadangan inisiatif yang perlu diwujudkan bertujuan mengukur pencapaian pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan dan Dasar Galakan Membaca,” katanya dalam kenyataan.
“Indeks ini dilihat dapat membantu pihak berkaitan merancang strategi dan program yang berkesan untuk meningkatkan budaya membaca dalam masyarakat.”
Antara tujuan utama IMK termasuk meningkatkan literasi dengan mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian, merancang program literasi yang lebih efektif, menggalakkan masyarakat agar membaca serta menilai keberkesanan program membaca yang telah dijalankan.
Selain itu, indeks ini juga akan memberikan panduan kepada pembuat dasar dalam merumuskan strategi yang sesuai untuk meningkatkan tahap literasi.
Menurut Aaron, IMK masih dalam proses perancangan dan memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan ia memberikan gambaran tepat tentang tabiat membaca rakyat.
“Melalui penggunaan IMK, diharapkan tahap literasi dan minat membaca dalam masyarakat dapat ditingkatkan, yang seterusnya akan menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.”