Imigresen gempur tanah tinggi Lojing, 86 Pati ditahan

Imigresen gempur tanah tinggi Lojing, 86 Pati ditahan

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

Semua Pati akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, kata Pemangku Pengarah Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman. (Gambar Jabatan Imigresen)
KOTA BHARU:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 86 pendatang tanpa izin dalam Operasi Bersepadu di kawasan pertanian di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Jumaat lepas.

Pemangku Pengarah Imigresen Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman, berkata mereka terdiri daripada 20 lelaki warga Bangladesh, Nepal (4 lelaki) dan Myanmar (56 lelaki, 6 wanita).

Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima dan hasil risikan, pihaknya mendapati kawasan pertanian tersebut disyaki menggunakan khidmat pendatang asing sejak lebih beberapa bulan lepas sebagai pekerja.

“Susulan itu Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan bersama pelbagai agensi telah menjalankan operasi di 16 lokasi dekat rumah kongsi pekerja dan kedai makan bermula 3 pagi, Jumaat lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua pendatang itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana pelbagai kesalahan dan telah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat melibatkan berkaitan pendatang asing tanpa izin diminta melaporkan kepada JIM Kelantan dengan menelefon 019-9840377, dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.