Teo wanita pertama terajui DAP Johor

Teo wanita pertama terajui DAP Johor

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dipilih timbalannya dengan 45% pimpinan DAP Johor diwakili wanita.

Teo Nie Ching mengambil alih pimpinan DAP Johor daripada Liew Chin Tong. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dipilih sebagai ketua DAP Johor, menjadikannya wanita pertama menerajui kepimpinan negeri itu.

Teo, yang juga timbalan menteri komunikasi, dipilih oleh 15 calon mendapat undi tertinggi daripada delegasi DAP Johor, hari ini.

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dipilih menjadi timbalannya.

Dalam kenyataan, Teo berkata, tujuh wanita dipilih menerajui kepimpinan DAP Johor bagi penggal 2024-2027, mewakili 45% daripada 20 ahli jawatankuasa negeri.

Katanya, peratusan wakil wanita dalam pimpinan DAP Johor disifatkan tertinggi dalam kalangan negeri lain.

“Ini adalah penghormatan terbesar untuk berkhidmat sebagai pengerusi DAP Johor, dan saya berbangga bersama barisan dua lagi pengerusi wanita negeri dalam sejarah DAP,” katanya.

Teo meraih 692 undi iaitu ketiga tertinggi, selepas Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Ng Siam Luang (762), dan Adun Stulang tiga penggal, Andrew Chen (717).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.