
Mangsa, Musa Ahmad, 65, didapati turut cedera di bahagian badan, kepala, dan tangan dengan mayat dijumpai di Kampung Basung, Kuala Berang.
Ketua Polis Hulu Terengganu Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata keadaan mayat itu berdasarkan hasil bedah siasat ke oleh Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT).
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 9.32 malam tadi berhubung kehilangan mangsa, selepas lelaki itu keluar rumah pada sebelah pagi untuk ke kebunnya.
“Semalam, keluarga mangsa bersama penduduk kampung turut berusaha mencari mangsa di kebun, tetapi gagal menemuinya.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) itu diteruskan semula kira-kira 7 pagi tadi dengan membabitkan pelbagai agensi serta penduduk kampung.
“Sekitar jam 7.15 pagi, mangsa ditemui meninggal dunia di kawasan cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak kira-kira 100m dari kebunnya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), selain polis menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau polis sekiranya menyedari kehadiran binatang liar.
Sebelum ini, dilaporkan Musa menyatakan kebimbangannya berhubung kehadiran gajah liar yang didakwa merosakkan tanaman berhampiran rumahnya.