
Bagaimanapun, sekiranya pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal mencapai majoriti, Warisan yang kini pembangkang akan menjadi penentu kerajaan, menurut Tony Paridi Bagang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau berkata, gabungan besar tiga parti itu penting untuk mencapai kejayaan pada pilihan raya, dalam persekitaran politik Sabah yang berpecah-belah. Bagaimanapun, sama ada perkara ini boleh dicapai atau tidak masih menjadi persoalan.
“Gabungan akan datang, terutamanya melibatkan PH dan GRS, mesti mempertimbangkan kehadiran Umno dan keperluan kerusi,” katanya dalam sebuah analisis.
GRS yang memerintah, yang telah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH, mungkin sukar mengintegrasikan Umno Sabah dalam perancangan pilihan rayanya tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sekutu sedia ada, katanya.
Beliau menjangkakan Umno akan menuntut kerusi boleh menang, yang turut akan disasarkan GRS.
BN juga telah menyatakan, pihaknya akan menjalin pakatan dengan PH pada PRN, tetapi PH masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu.
“Peranan Warisan sebagai penentu keputusan mungkin besar jika GRS, PH, atau BN gagal memperoleh majoriti muktamad di DUN selepas pilihan raya.
“Parti Shafie Apdal mungkin memainkan peranan penting dalam menentukan gabungan pemerintah di Sabah,” katanya.
Atas sebab ini, katanya, Warisan tidak seharusnya terlajak mengukur pengaruhnya dalam persediaan menghadapi PRN. Langkah yang salah boleh menyebabkan parti itu makin kurang relevan dalam arena politik Sabah, tambahnya.
Tony juga berkata, mungkin terdapat rasa kurang senang dalam kalangan komponen GRS lain berhubung Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berikutan memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua parti itu, yang asas pengundinya terdiri daripada masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).
Pakatan yang dimeterai pada April boleh menjejaskan pengagihan kerusi dalam GRS, dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika kerjasama dengan PH diteruskan, kerana Upko juga akan menuntut bertanding kerusi majoriti KDM.
“Jika tidak dikawal dengan teliti, kepentingan yang bersilang ini boleh menjejaskan perpaduan dalaman GRS, berpotensi mengakibatkan tercetusnya rasa tidak puas hati dan perpecahan.
“PRN akhirnya akan menjadi (medan) menilai kepimpinan Pengerusi GRS Hajiji Noor, kerana keupayaannya menangani konflik dalaman dan merentasi gabungan politik yang rumit akan menentukan keupayaan GRS mengekalkan kuasanya.”