Larian ‘songsang’ di Kota Tinggi, MB seru polis siasat

Larian ‘songsang’ di Kota Tinggi, MB seru polis siasat

Onn Hafiz Ghazi berang susulan tular gambar peserta tidak senonoh, separuh bogel, dan mempromosi LGBT, dalam acara larian.

Gambar tular memaparkan peserta larian berpakaian tidak senonoh dalam acara larian di Kota Tinggi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor mahu polis menyiasat penganjuran acara larian melibatkan pelancong berpakaian songsang di Kota Tinggi seperti tular di media sosial.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, berkata maklum balas polis dan penganjur berkait acara berkenaan mendapati, ia bukanlah seperti dinyatakan dan kejadian berlaku dikatakan di “luar kawalan pihak penganjur”.

Beliau menegaskan acara itu bukan dianjurkan kerajaan negeri mahupun agensi di bawahnya.

“Kerajaan negeri memandang serius terhadap isu ini dan telah meminta siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak menganjurkan acara mencetuskan isu menggugat keharmonian dan kedaulatan agama Islam, serta menjatuhkan imej negeri Johor secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam.

“Kerajaan negeri berharap agar isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan dan mengancam keharmonian negeri serta kesucian agama Islam.”

Terdahulu, Adun Penawar Fauziah Misri berkata tular gambar peserta tidak senonoh, separuh bogel, dan mempromosi LGBT, yang didakwa berlaku pada Larian Antarabangsa Pan Asia 2024.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dan saya harap orang ramai juga perlu yakin dan biarkan pihak berkuasa menyiasat perkara ini.

“Saya juga berharap pihak hotel perlu lebih berhati-hati dan teliti atas setiap penganjuran program terutama yang menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya dalam catatan di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.