
Menurutnya, kes strok haba membabitkan mangsa berusia 42 tahun itu adalah kes pertama berkaitan cuaca panas yang direkodkan di negeri itu tahun ini.
Katanya, mangsa menyertai acara larian di George Town yang bermula 6.30 pagi pada 25 April sebelum dilaporkan pengsan berhampiran garisan penamat.
“Dia diberi rawatan kecemasan di lokasi, sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam keadaan kritikal sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.08 pagi 26 April dan punca kematian disebabkan strok haba dengan komplikasi rhabdomyolysis dan kegagalan pelbagai organ,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Justeru, JKNPP menasihatkan orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti luar atau sukan lasak supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan tahap kesihatan diri.
“Pastikan hidrasi badan yang mencukupi dan segera menghentikan aktiviti sekiranya mengalami tanda-tanda awal kelesuan haba seperti pening, mual atau kekejangan otot.
“Ambil langkah pencegahan ketika cuaca panas, iaitu elakkan pendedahan berpanjangan di luar, minum air kosong dengan kerap bagi memastikan badan kekal terhidrat dan jadkan aktiviti fizikal lasak.
“Selain itu, gunakan pelindung diri seperti topi atau payung serta pakaian yang ringan, beri perhatian kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu berpenyakit kronik serta dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala berkaitan haba,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia, https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.