DUN Sabah belum bubar, Wanita GRS sudah hantar nama calon

DUN Sabah belum bubar, Wanita GRS sudah hantar nama calon

Ketua Wanita GRS Azizah Mohd Dun berkata tindakan itu untuk Hajiji Noor pertimbang berdepan PRN Sabah.

Ketua Wanita GRS Azizah Mohd Dun juga mengesahkan namanya tiada dalam senarai calon sayap itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tindakan awal menyerahkan senarai calon sayap itu kepada Pengerusi Hajiji Noor untuk berdepan PRN Sabah.

Ketua Wanita GRS Azizah Mohd Dun, berkata senarai nama berkenaan diberi awal bagi pertimbangan walaupun belum berlaku pembubaran DUN Sabah.

“Kami sudah mengemukakan nama-nama calon Wanita GRS kepada pengerusi gabungan ini. Walaupun belum bubar, tetapi kita kemukakan awal sahaja kepada beliau.

“Bagaimanapun, perkara paling penting adalah semua calon yang kita pilih mempunyai kelayakan. Mereka berkebolehan selain mampu menjadi suara wanita untuk kawasan masing-masing,” katanya menurut Berita Harian selepas hadir mesyuarat Ketua Wanita Komponen GRS, di Kota Kinabalu.

Azizah berkata, setakat ini pihaknya mempunyai hampir 18,000 jentera wanita di semua 73 DUN dan sudah bersiap sedia membantu calon GRS pada PRN itu.

Beliau juga mengesahkan senarai nama calon wanita berkenaan tidak membabitkan namanya.

“Secara peribadi sudah pencen dari bidang ini. Saya tidak lagi menjadi calon dan lebih selesa bersama Wanita GRS berkongsi pengalaman serta bekerja bersama untuk menjayakan misi parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.