
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 mendapati 57.7% gemar membaca di kedai buku dan 24.5% di restoran serta kafe siber.
Katanya, kajian sama mendapati minat membaca rakyat meningkat iaitu 24 naskhah bahan bacaan setahun pada 2023, berbanding 15 naskhah pada 2014, dan hanya dua naskhah pada 2005.
“Saya menggesa lebih banyak pusat membeli-belah menyediakan ruang membaca serta memperbanyakkan kedai buku di dalam pusat membeli-belah bagi memenuhi minat dan keperluan pembaca. Sebagai contoh, BookXcess di Pusat Beli-belah MyTown ini menjadi tarikan utama golongan muda.
“Sebanyak 69.9% rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Penemuan ini merupakan indikator positif ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi, setanding dengan negara-negara maju yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Hasnol Zam Zam Ahmad pada Majlis Perasmian Karnival Baca Perdana 2024 di Pusat Beli-belah MyTown.
Justeru, syarikat penerbitan buku diminta menerbitkan lebih banyak bahan bacaan memandangkan 72% rakyat berminat membeli bahan bacaan dan memperuntukkan sehingga RM500 setahun untuk tujuan itu.
Mengulas lanjut, Aaron berkata kementerian akan meneliti dan melaksanakan beberapa cadangan yang dikemukakan melalui Kajian Profil Membaca 2022/2023 bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh akses bahan bacaan berkualiti.
Program tebus baucar buku dipertimbang
Antara dua cadangan itu adalah mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bertujuan memantau tahap membaca secara menyeluruh bermula 2025-2030 dan pelaksanaan semula Program Penebusan Baucar Buku.
Aaron berkata, bermula tahun depan kementerian akan memperkenalkan inisiatif ikon pembaca kebangsaan, melantik tokoh pembaca kebangsaan yang pertama, dan program Kalam Karyawan (Dokumentari Khas Sasterawan Negara).
“Saya juga memohon agar Perpustakaan Negara Malaysia memanfaatkan teknologi maklumat terkini, khususnya media sosial bagi memperkukuhkan promosi galakan membaca,” katanya.
Katanya, Karnival Baca Perdana yang dijalankan bukan sahaja merupakan satu perayaan ilmu, bahkan platform efektif mendekatkan buku dan ilmu kepada masyarakat.
Menurutnya, sepanjang 2023 hingga Ogos lalu sebanyak 102,813 program pembudayaan galakan membaca dilaksanakan di seluruh negara dengan jumlah penyertaan sebanyak 3,748,409.