
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata penangguhan itu susulan terdapat penambahan maklumat dan tangkapan baharu menerusi Op Global.
Sehubungan itu, beliau berharap kertas cadangan berkenaan dapat dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
“Saya sepatutnya bentangkan minggu lepas, tapi ada proses tertentu termasuk melibatkan pengenalan identiti…harapnya minggu depan sudah siap dan saya boleh bentangkan,” katanya selepas program “Inclusivity in Early Education Conference” di sini.
Sebelum ini, Nancy dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa kertas cadangan ke Jemaah Menteri minggu ini untuk dibincangkan bersama beberapa kementerian lain berhubung perancangan terhadap 572 kanak-kanak dan remaja di bawah asuhan GISBH.
Katanya, antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk cadangan jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai masa depan kanak-kanak berkenaan berkaitan pendidikan, keselamatan dan kesan dihadapi mereka.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) bagi menampung keperluan semakin meningkat.
Sehingga kini, katanya, hanya ada 11 pusat taska OKU berdaftar di seluruh negara dan menyeru pusat jagaan tidak berdaftar membuat pendaftaran segera sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Memang perlu diperbanyak (taska OKU), sebab itu kita katakan sesetengah mereka menghadapi masalah kerana ‘syarat’ daripada agensi seperti bomba…tapi bomba lebih kepada aspek keselamatan.
“Jadi, sebab itu mereka perlu patuhi, namun ramai tidak memahami, kadang-kadang mereka mengatakan kerajaan sangat ‘berkeras’. Memanglah perlu berkeras sebab keutamaan kita berkaitan keselamatan kanak-kanak.”