Amirudin tuduh Ahli Parlimen PAS hipokrit isu ladang babi

Amirudin tuduh Ahli Parlimen PAS hipokrit isu ladang babi

MB Selangor berkata, Dr Ahmad Yunus Hairi tak pernah kecoh ketika sama-sama jadi exco sebelum ini.

Selangor menteri besar Amirudin Shari
MB Selangor Amirudin Shari berkata, sentimen yang dimainkan pihak tertentu mengenai cadangan ladang ternakan babi berpusat tenggelamkan data sebenar.
KUALA LUMPUR:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari melabel bekas rakan exco negerinya daripada PAS sebagai hipokrit dalam isu cadangan pemusatan ternakan babi di Bukit Tagar.

Ketika berucap di Dewan Rakyat, Amirudin (PH-Gombak) menegaskan, kerajaan Selangor, termasuk di bawah pentadbirannya, sejak awal lagi merancang menutup ladang ternakan babi konvensional yang mencemarkan persekitaran, terutamanya yang beroperasi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Menurutnya, isu ini bukanlah baharu dan sudah dibangkitkan sejak era beliau dan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkhidmat bersama sebagai exco Selangor di bawah kepimpinan Azmin Ali antara 2014 hingga 2018.

“Masalah ini bukan satu tahun. Ketika (Ahmad Yunus) jadi exco pertanian, masalah itu masih berterusan. Dan kita ingin tangani (sekarang),” katanya ketika membahaskan Titah Diraja.

“Ketika (beliau) jadi exco pertanian, beliau tak lawat kandang babi. Masa jadi pembangkang (barulah) beliau lawat.”

Amirudin menegaskan, cadangan pemusatan ternakan babi itu dibuat khusus untuk menyelesaikan masalah itu dengan memindahkan ladang ke lokasi lebih sesuai dan jauh dari petempatan, selain menggunakan sistem tertutup bagi mencegah pencemaran alam sekitar.

Perkara ini juga telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor, yang menurutnya, menerima baik penjelasan yang diberikan.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, isu ini telah disensasikan sehingga emosi dan sentimen menenggelamkan fakta dan data yang menjadi asas kepada cadangan kerajaan negeri.

Tambahnya, exco negeri di bawah pimpinan Azmin dahulu pernah menerima tiga kertas cadangan berhubung pelaksanaan projek pemusatan ternakan babi ini.

“Tidak ada pelabur yang nak buat, kerana kosnya tinggi. Kerajaan pun tak nak labur, sebab kita rasa ini tanggungjawab (pemain industri). Sekarang, pelabur nak datang,” katanya.

Beliau berkata, ladang ternakan babi secara berpusat itu sebenarnya sudah beroperasi di Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor membatalkan hasrat memperkenalkan projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar itu susulan tentangan hebat daripada orang ramai.

Cadangan itu asalnya bermatlamat menambah baik pengurusan sisa kumbahan, memodenkan industri dan memindahkan 112 ladang babi di Tanjung Sepat yang didakwa menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Mengambil kira perdebatan hangat berhubung cadangan yang telah dibatalkan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri tidak akan mendedahkan sebarang lokasi alternatif berpotensi kepada umum sehinggalah keputusan muktamad dicapai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.