Hutang individu cecah bilion ringgit, perancang seru syarat mohon kredit diperketat

Hutang individu cecah bilion ringgit, perancang seru syarat mohon kredit diperketat

Idham Idris dari Wealth Vantage Advisory, berkata syarat kelayakan harus diperketat bagi mengurangkan pinjaman secara impulsif dan mendorong penggunaan kredit secara bertanggungjawab.

credit card
Menurut AKPK seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Penyedia pinjaman diseru perketat permohonan kad kredit, pinjaman peribadi, dan skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (Buy Now, Pay Later atau BNPL) susulan pendedahan bahawa lebih 50,000 individu dewasa muda dibebani hutang terkumpul RM1.9 bilion ringgit.

Perancang kewangan berlesen, Idham Idris dari Wealth Vantage Advisory, berkata syarat kelayakan harus diperketat bagi mengurangkan pinjaman secara impulsif dan mendorong penggunaan kredit secara bertanggungjawab.

“Penggunaan kad kredit dan BNPL sering kali dianggap mudah, tetapi ia boleh membawa kepada hutang yang tidak terkawal,” katanya kepada FMT.

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada Rabu, seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion.

Menurutnya lagi, 28% rakyat yang bekerja meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dilapor berkata kekurangan pemahaman tentang implikasi dan kekurangan disiplin dalam mengurus komitmen – di sebalik peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit dan skim BNPL – adalah amat membimbangkan.

Idham berkata kerajaan telah memulakan beberapa inisiatif penting untuk menangani masalah hutang, seperti kempen Bulan Celik Kewangan dan pelaksanaan Strategi Kebangsaan untuk Celik Kewangan yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat.

Beliau mengesyorkan beberapa langkah tambahan untuk memperkukuh usaha ini, seperti menjadikan pendidikan kewangan sebahagian daripada perkara wajib di sekolah.

“Dengan ini, generasi muda akan lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Selain mengetatkan syarat permohonan kredit di pihak penyedia pinjaman, Idham mencadangkan pemohon wajib jalani ujian literasi kewangan, bagi memastikan peminjam benar-benar memahami tanggungjawab dan risiko berhutang.

“Langkah ini dapat membantu mengurangkan pinjaman secara tidak bertanggungjawab, terutamanya dalam kalangan anak muda yang baru mula bekerja,” katanya.

Idham juga menyeru AKPK diperkasakan untuk menawarkan program intervensi awal kepada golongan muda yang berisiko terjebak dengan masalah hutang.

“Ini boleh termasuk sesi kaunseling kewangan wajib sebelum peminjam dibenarkan mengambil pinjaman, terutama bagi produk kewangan yang berisiko tinggi seperti BNPL,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.