
Harian Metro melaporkan Muhammad Faris Azri Md Hanif, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Chia Huey Ting yang turut mengarahkannya menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta secara gopoh sehingga mungkin menyebabkan bencana kepada orang lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 3.45 pagi 28 Sept lalu.
Faris didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R Lushani memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran, tetapi tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan dia insaf dengan kesilapannya.
Ahad lalu, Faris direman dua hari selepas ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas semasa melakukan aksi “drift” ketika memandu Mazda Roadster.