‘Tak molek tolak undangan sekolah’, Suhaizan dipersenda rasmi penutup longkang

‘Tak molek tolak undangan sekolah’, Suhaizan dipersenda rasmi penutup longkang

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat berkata beliau memenuhi undangan sekolah untuk meninjau bantuan projek mesra rakyat disalurkan menerusi peruntukan pejabatnya.

ribbon ceremony
Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat merasmikan besi penutup longkang sebuah sekolah kebangsaan di kawasannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat berkata pembangkang tidak wajar mempersendakan gambarnya merasmikan besi penutup longkang sebuah sekolah di Johor Bahru dan mereka tidak memahami konteks sebenar.

Menurutnya, beliau memenuhi undangan sekolah kebangsaan di Pulai itu untuk meninjau bantuan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang disalurkan menerusi peruntukan pejabatnya.

Katanya, sekolah itu memohon bantuan berkenaan kerana banyak kes pelajar terjatuh ke longkang tanpa besi penutup.

“Berikutan isu keselamatan murid sekolah, penutup longkang bagi semua empat blok sekolah berkenaan dibekalkan menerusi bantuan peruntukan PMR dari Pejabat Parlimen Pulai.

“Sekolah berkenaan kemudian mengundang saya meninjau bantuan besi penutup longkang sudah dibekalkan. Perasmian itu adalah permintaan pihak sekolah yang ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan projek PMR dan tanda mereka menghargai bantuan disalurkan.

“Saya hadir bagi memenuhi permintaan sekolah, apatah lagi sebagai tetamu tidak molek menghampakan harapan sekolah yang bersusah payah menyusun program berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengkritik tindakan Suhaizan yang didakwa bersungguh merasmikan besi penutup longkang sebuah sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.