
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Ahmad Maslan berkata perkara itu penting supaya niat itu dibincangkan dalam mesyuarat MKT Umno, menyifatkan hasrat berulang kali dibangkit Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin itu sebagai ‘perkara penting’.
“Malah mesyuarat MT sebelum ini juga tidak pernah membincangkan mengenai (kerjasama dengan Bersatu) isu ini. Tentunya perkara penting sebegini perlu dibincang di peringkat MT Umno.
“Jangan asyik bangkitkan perkara ini (di media) kerana jika tiada permohonan, macam mana ia hendak dibincangkan dalam Umno,” katanya menurut Utusan Malaysia di Pontian.
Kelmarin, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.
Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK Ayer Kuning, baru-baru ini, yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60%.
Semalam, Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub menggesa Bersatu dibubar dan kembali menyertai Umno, selepas mendakwa PAS sudah berkali-kali menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa perdana menteri untuk diterima masuk dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata: “Bukan bekerjasama dengan Umno, tetapi bersama dalam Umno.”