
Leong Lai Peng, 44, didakwa memperdayakan pekerja kedai makan Ang Hooi Yong, 38, dengan menawarkan pelaburan tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM66,000 di sebuah restoran di Kepong Baru antara 2 Julai 2022 dan 9 Jun 2023.
Tuduhan dikenakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun peguam mewakili tertuduh, V Annamalai, memohon jaminan dikurangkan atas alasan ia kesalahan kali pertama anak guamnya.
“Anak guam saya bekerja sebagai peniaga mi wantan di medan selera yang turut dibantu oleh suaminya. Oleh itu, saya mohon jaminan rendah kerana jaminan RM20,000 terlalu tinggi,” katanya.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.