Lebih 40,000 penjawat awam berisiko alami isu kesihatan psikologi

Lebih 40,000 penjawat awam berisiko alami isu kesihatan psikologi

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz kata isu kesihatan psikologi perlu intervensi segera bagi mengelak kecelaruan mental.

Lebih 40,000 penjawat awam berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi, berdasarkan kajian melalui MyPsyD. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Lebih 40,000 penjawat awam berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi yang memerlukan intervensi segera bagi mengelakkan daripada menghidapi kecelaruan mental, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Hal ini berdasarkan kajian yang dibuat melalui Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang diwujudkan sejak 1 Mac lepas, antara inisiatif terkini kerajaan untuk meningkatkan program pencegahan tingkah laku berisiko.

“Ia (kajian) melibatkan hampir satu juta penjawat awam yang berjaya melengkapkan profil MyPsyD itu,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Psikologi 2024 (ICOPW2024).

Wan Ahmad Dahlan berkata profil MyPsyD penting kerana ia bertindak sebagai indikator individu dan organisasi supaya lebih cakna dalam merangka strategi melalui pembangunan kendiri, pencegahan, dan intervensi bagi melestarikan kesejahteraan pegawai awam dan kekal berhemah dalam memberikan perkhidmatan.

Selain itu, katanya, keputusan kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia (IKPM) yang dijalankan dalam perkhidmatan awam menunjukkan bahawa kesejahteraan psikologi penjawat awam masih lagi pada tahap sederhana.

Wan Ahmad Dahlan berkata keutamaan terhadap kesihatan mental sememangnya menjadi agenda kerajaan dalam memastikan mental dan fizikal yang sihat, seterusnya menyokong peningkatan produktiviti penjawat awam ke tahap optimum.

Hal ini seiring hasrat Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar untuk mewujudkan Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Perkhidmatan Awam, selaras Budaya Keseronokan Bekerja sebagai Strategi Keberhasilan Reformasi 4 (SKR4) dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030.

“Keseronokan di tempat kerja akan membantu pekerja melakukan tugas mereka dengan cekap dan seterusnya meningkatkan prestasi organisasi,” katanya.

Beliau berkata ICOPW2024 diharap dapat menjadi platform terbaik bagi penjawat awam dan rakyat dalam menyokong agenda Rancangan Malaysia Ke-12, Rukun Madani, dan Ekonomi Madani untuk membina kesejahteraan serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik.

“Persidangan ini akan dapat membentuk landskap kesihatan mental yang lebih baik, bahkan juga diharap dapat memberi sumbangan yang signifikan ke arah melahirkan penjawat awam yang cemerlang, prihatin, dan seimbang dari aspek psikologi dan spiritual,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.