
Tania Scivetti, peguam yang mewakili Najib, berhujah bahawa AmBank, sebagai antara institusi kewangan utama, memiliki jabatan pematuhan khusus bagi memproses dana itu berdasarkan surat yang menyokong dakwaan wang itu daripada kerabat Saudi yang diberikan sebagai derma.
“Pembelaan berhujah situasi ini memberikan kredibiliti kepada keyakinan Najib bahawa dana itu adalah pemberian yang sah dan bukan hasil daripada aktiviti haram.
“Perlu ditegaskan bahawa RM2 bilion bukanlah jumlah kecil yang tidak disedari atau tidak dapat dikesan. Ia tertakluk kepada penelitian bukan hanya di bawah jabatan pematuhan di AmBank tetapi juga di pihak jabatan pematuhan penghantar, dalam kes ini Tanore Finance Corporation,” kata beliau ketika berhujah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas pendakwaan menutup kesnya.
Tanore sebuah syarikat yang dikuasai Eric Tan Kim Loong, yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dikehendaki iaitu Low Taek Jho atau Jho Low.
Isu yang dibangkitkan pada prosiding hari ini merujuk kepada wang sebanyak USD620 juta (RM2.27 bilion) yang menjadi inti pati empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Najib.
Scivetti berhujah wang RM2 bilion itu telah dimaklumkan kepada Bank Negara, yang akan membekukan akaun terbabit jika terdapat sebarang kecurigaan berkait aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, tiada sebarang amaran diberikan dalam hal ini. Ini jelas menunjukkan bahawa Najib mempunyai jangkaan yang sah bahawa wang yang beliau terima daripada Tanore adalah derma tulen dari Arab Saudi dan tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti haram.”
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.
Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang dan di bank yang sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Perbicaraan bersambung esok.