
Peguamnya, Rajesh Nagarajan berkata demikian bagi pihak anak guamnya di balai polis Sentul hari ini, di mana Naimah memberikan keterangan selama dua jam bermula 2 petang.
“Adakah polis serius menyiasat aduan ini? Ia disiasat oleh seorang inspektor. Bolehkah seorang inspektor siasat perdana menteri? Besar kemungkinan, tidak.
“Penting sebuah pasukan petugas pelbagai agensi dibentuk untuk menyiasat laporan ini,” katanya.
Rajesh berkata, hanya pasukan petugas mempunyai kuasa memanggil saksi berprofil tinggi, seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Naimah berkata, polis bertanyakan kepadanya 20 soalan berhubung laporannya, kebanyakannya berkait agensi berita Bloomberg yang menerbitkan artikel berkenaan.
“Saya juga bertanya (kepada polis) bila mereka akan rakam keterangan Anwar, dan mereka kata akan tunggu arahan lanjut,” katanya.
Semalam, Naimah memfailkan laporan polis berhubung artikel Bloomberg mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap urusan suaminya.
Memetik sumber, Bloomberg melaporkan Ketua SPRM Azam Baki memberitahu pegawai agensi itu bahawa arahan menyiasat Daim, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya, datang daripada Anwar sendiri.
Naimah mendakwa, menurut laporan Bloomberg itu, tuduhan terhadap Daim dan dirinya ialah sebahagian konspirasi menyasarkan seteru politik Anwar dengan menjatuhkan institusi negara dan badan penguatkuasa.
Kedua-dua Pejabat Perdana Menteri dan SPRM menafikan dakwaan dalam laporan Bloomberg itu.
Awal tahun ini, Daim mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset.
Naimah didakwa mengikut peruntukan yang sama kerana gagal mengisytiharkan pemilikan pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah dan dua kenderaan.