Tak benar haiwan dibiar lapar, terabai, kata Zoo Negara

Tak benar haiwan dibiar lapar, terabai, kata Zoo Negara

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata semua haiwan dijaga mengikut prosedur kesihatan ketat.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana mempelawa orang ramai melihat sendiri haiwan di fasiliti itu yang dijaga dengan baik mengikut keperluan spesies masing-masing.
PETALING JAYA:
Zoo Negara menafikan dakwaan haiwan dibiarkan kelaparan, tidak dijaga dengan baik atau kelihatan lemah di fasiliti itu.

Timbalan Presidennya Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata semua haiwan dijaga dengan baik mengikut prosedur kesihatan ketat, termasuk pengawasan berkala pakar veterinar dan kakitangan terlatih, manakala haiwan tidak sihat dipantau serta dirawat setiap hari.

Menurutnya, Zoo Negara turut memastikan berat haiwan tidak berlebihan yang boleh membahayakan kesihatan.

“(Dakwaan) ini tidak benar sama sekali. Pengunjung boleh datang dan lihat sendiri keadaan haiwan di sini, contohnya harimau kami tidak kurus.

“Haiwan di Zoo Negara dijaga mengikut keperluan spesies masing-masing, bukan seperti haiwan peliharaan di rumah. Mereka diberi diet terkawal, selain kami memantau kesihatan mereka dengan teliti.

“Haiwan di sini mempunyai jadual pemakanan tetap dan jumlah makanan dikawal kerana dikhuatiri berdepan kesan negatif ke atas kesihatan, jika berat badan berlebihan,” katanya menurut Harian Metro.

Baru-baru ini, seorang pempengaruh dilaporkan kecewa dengan pengurusan Zoo Negara kerana mendakwa haiwan di sana dilihat terabai, dengan kebanyakannya kelihatan lemah, tidak aktif dan kurang berat badan.

“Kita boleh nampak haiwan di sini gembira atau tak. Perut harimau dilihat kempis sedangkan pemberi makanan di Zoo Negara memiliki perut lebih besar dan beberapa haiwan kelihatan sakit.

“Kandang haiwan dilihat tidak teratur, manakala air di dalam akuarium juga keruh,” dakwanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.