
Mungkin di situlah detik pertama mereka melihat harimau Malaya buat kali pertama, memberi makan haiwan atau bergambar bersama keluarga di pintu masuk ikoniknya sebagai tanda kenangan.
Zoo dirasmikan Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama pada 14 Nov 1963 itu, turut menjadi ‘rumah transit’ kepada panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi selama 11 tahun mulai Mei 2014 sebelum kembali ke China pada Mei lalu.

Masa berlalu, Zoo Negara terus beroperasi di tengah-tengah pesatnya pembangunan sekitar Hulu Kelang.
Kesesakan lalu lintas terutama pada cuti umum turut mencetuskan cadangan supaya ia dipindahkan ke lokasi lain seperti Bagan Lalang, Sepang atau Janda Baik, Bentong.
Namun, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Lana menyifatkan perkara itu sekadar khabar angin dan menegaskan zoo terbabit akan terus kekal di Hulu Kelang.

Jelas Rosly, Persatuan Zoologikal Malaysia selaku pengendali zoo tidak pernah bercadang berpindah kerana kawasan sedia ada sudah menjadi mercu tanda dan mudah diakses oleh orang ramai.
“Kami sudah selesa di sini. Tempat ini sudah jadi simbol dan mudah dikunjungi.
“Dari kecil sampai sekarang, ramai datang ke sini untuk mengenang zaman dulu,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Pada Mac 2023, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang ketika itu menteri sumber Asli, alam sekitar dan perubahan iklim, mengesahkan ada cadangan memindahkan Zoo Negara ke tapak lain berikutan kepesatan pembangunan di sekitar Hulu Kelang termasuk Taman Melawati dan Kemensah.
Dalam jawapan di Parlimen, beliau berkata lokasinya dicadangkan di Janda Baik atau Bagan Lalang, namun perkara itu belum dapat direalisasikan kerana urusan serta pentadbirannya dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Haiwan berisiko mati
Rosly berkata, pemindahan zoo hampir mustahil dilakukan kerana mungkin membabitkan kos berbilion ringgit memandangkan perlu menyediakan persekitaran yang sesuai serta kemudahan khas untuk memindahkan haiwan.
“Kami ada kira-kira 4,000 ekor haiwan. Kalau dipindahkan, sekurang-kurangnya 20% berisiko mati akibat tekanan dan perubahan persekitaran.
“Haiwan mudah tertekan apabila dikurung lama dan dibawa jauh ke tempat baharu, menyebabkan mereka enggan makan atau jatuh sakit,” katanya.
Bagaimanapun, Rosly tidak menolak idea pembinaan ‘Zoo Negara kedua’ sekiranya ada pihak yang berminat menaja projek baharu itu.
“Itu boleh dibincangkan. Tapi nak pindah sepenuhnya, memang tidak mungkin,” katanya.

Langkah penyelesaian
Bagi menangani masalah sedia ada, Rosly berkata pihaknya merancang untuk membina parkir bertingkat bagi menampung kemasukan kenderaan pengunjung, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
“Masalah utama memang parkir, dan kami sedang menunggu kelulusan untuk membina parkir bertingkat,” katanya.
Dari segi dana operasi, Rosly berkata selain kutipan tiket, pihaknya turut menerima bantuan kerajaan serta sumbangan syarikat dan NGO bagi menjaga kebajikan haiwan.

“Kerajaan bantu dari segi pembangunan manakala kami urus gaji dan rawatan haiwan. Banyak pihak swasta juga turut membantu,” katanya.
Beliau berharap Zoo Negara terus mendapat sokongan rakyat dan kekal menjadi warisan kebanggaan negara.
“Zoo ini bukan sekadar tempat tengok haiwan, tapi tempat penuh kenangan dan sejarah,” katanya.