Sindiket pelaburan tak wujud, kontraktor rugi lebih RM600,000

Sindiket pelaburan tak wujud, kontraktor rugi lebih RM600,000

Mangsa terpedaya dengan ‘pelaburan saham’ dikenali sebagai DFA setelah melihatnya di Facebook.

sohaimi
Ketua Polis Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata mangsa berusia 50 tahun melakukan pembayaran melalui 17 transaksi antara Julai hingga September ke tiga akaun bank berbeza. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang kontraktor di Johor Bahru terpaksa berputih mata apabila kerugian RM688,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud dikenali sebagai DFA setelah melihatnya di laman Facebook pada 26 Julai lepas.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata lelaki berusia 50 tahun itu yang berminat dengan pelaburan berkenaan telah berhubung dengan suspek dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan itu.

Beliau berkata, mereka turut berhubung melalui panggilan video dan mangsa diajar cara-cara untuk melabur serta dijanjikan keuntungan sehingga 410% melalui lima fasa pelaburan yang berjalan selama lima bulan dengan keuntungan setiap fasa sekitar 50 hingga 150%.

“Mangsa juga diberikan surat perjanjian melalui WhatsApp dan diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan bernama ATS-P bagi urusan selanjutnya. Percaya dengan pelaburan, mangsa telah melakukan pembayaran melalui 17 transaksi antara 31 Jul hingga 8 Sept ke tiga akaun bank berbeza.

“Sehingga bulan Ogos lepas, mangsa yang telah berada di fasa keempat pelaburan dan melabur sebanyak RM688,000 mendapati ada dua kali pulangan wang berjumlah RM64,000, namun gagal untuk mengeluarkannya pada awal Sept,” katanya menurut Bernama.

Katanya, setelah gagal mengeluarkan keuntungan, mangsa ketika berhubung dengan suspek terus diminta membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelan, namun enggan sehingga mengakibatkan akaunnya dibekukan sekali gus tidak dapat diakses lagi.

Mangsa yang mula rasa curiga membuat semakan di ibu pejabat syarikat dan dimaklumkan syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dengan pelaburan.

Percaya dirinya ditipu, mangsa membuat laporan di IPD Seri Alam semalam.

“Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.