
Kitingan yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata kerajaan ditadbir Perdana Menteri Anwar Ibrahim setakat ini telah menyelesaikan 11 tuntutan Sabah dan Sarawak, namun elemen penting belum ditunaikan.
Beliau berkata kelewatan itu berpunca kerana kekurangan kehendak politik terutama pentadbiran negeri terdahulu dan cabaran struktur dalam kerajaan persekutuan.
“Apabila merujuk kepada kerajaan negeri, kita maksudkan ialah keseluruhan tadbir urus di Sabah sejak pembentukan Malaysia.
“Pentadbiran-pentadbiran dahulu, tanpa mengira parti, sering kali terlalu mudah menunda bagi kepentingan persekutuan,” katanya di Facebook.
Kitingan mengimbau kembali zamannya sebagai pembangkang di DUN Sabah, 10 tahun lalu apabila desakan supaya MA63 dikaji semula ditentang kerajaan negeri ketika itu.
“Saya selalunya bersuara seorang diri, menyeru agar MA63 dikaji semula oleh persekutuan, tetapi menghadapi tentangan, malah daripada ketua menteri ketika itu, yang menolak gesaan sedemikian dengan kenyataan seperti ‘apa mau review-review?
“Terbukti bahawa kerajaan persekutuan atau negeri tidak mahu mengetengahkan isu ini,” kata Adun Tambunan itu yang tidak menamakan identiti ketua menteri didakwa menolak gesaannya.
“Ini bukan tentang menuding jari kepada mana-mana pentadbiran tertentu; ia untuk mengetengahkan isu sudah lama berlarutan dan memerlukan kesatuan usaha.”
Semalam, Anwar dipetik berkata kesungguhan kerajaan menyelesaikan tuntutan Perjanjian MA63 bukan didorong rasa takut hilang sokongan dari Sabah dan Sarawak, sebaliknya mengotakan janji pemimpin terdahulu.
Setakat 13 Sept, sebanyak 11 tuntutan rundingan MA63 diselesaikan dengan tujuh daripadanya berjaya dicapai dalam tempoh dua tahun di bawah kerajaan perpaduan.
Empat perkara yang belum diputuskan adalah berkaitan sempadan laut, royalti minyak, duti setem, serta tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak.