
Dalam kenyataan, KKM berkata turut dilarang serta-merta apa jua bentuk iklan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja.
“Aspek yang akan dikuatkuasakan serta-merta adalah seperti peruntukan melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bagi mengekang kebolehdapatan keluaran tersebut.
“Selain itu, peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.”
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Feb lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Okt.
Selain penguatkuasaan serta-merta, KKM turut melaksanakan penguatkuasaan pendidikan bagi tempoh enam hingga 12 bulan, termasuk aspek pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
“Ia turut termasuk aspek pembungkusan dan pelabelan yang akan dikuatkuasakan mengikut produk selewat-lewatnya 1 Okt 2025 serta kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.
“Penguatkuasaan undang-undang secara berkesan dan mampan memerlukan persefahaman dan kerjasama daripada semua pihak. Untuk tujuan itu, KKM akan turut menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi untuk membantu seluruh pemegang taruh memahami akta ini dengan lebih jelas,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 boleh dibuat di talian 03 88924552 atau melalui WhatsApp di 010 8608949 pada Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang bermula 30 Sept.