Gagal beri maklumat ideologi keganasan, ibu suspek serang balai Ulu Tiram minta bicara

Gagal beri maklumat ideologi keganasan, ibu suspek serang balai Ulu Tiram minta bicara

Rosna Jantan yang juga warga Singapura mengaku tidak bersalah susulan tindakan anaknya membunuh dua anggota polis.

rosna jantan
Mahkamah Tinggi KL menetapkan 12 Nov untuk pengurusan kes melibatkan Roslan Jantan, 59. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Rosna Jantan, 59, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei lalu, mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Noorin Badaruddin menetapkan 12 Nov untuk pengurusan kes, lapor Bernama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, berkata semasa tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dia diwakili seorang peguam namun pihaknya dimaklumkan peguam itu tidak dapat hadir hari ini kerana tidak menerima notis.

Beliau berkata, Rosna sebelum ini didakwa bersama tertuduh lain dan kes itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi Jenayah 7, pada 23 Okt.

“Pihak pendakwaan berhasrat untuk memindahkan kes tersebut ke mahkamah ini. Justeru, kami mohon tarikh pengurusan kes yang sedikit panjang supaya kes membabitkan tertuduh lain itu disebut terlebih dahulu,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, Rosna yang juga warga Singapura, suami, serta tiga anak mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.