Pengundi Mahkota tolak ‘pergeseran kecil’, pilih agenda besar, kata ketua PKR Johor

Pengundi Mahkota tolak ‘pergeseran kecil’, pilih agenda besar, kata ketua PKR Johor

Syed Ibrahim Syed Noh berkata, majoriti pengundi Mahkota tidak terlalu terpengaruh kontroversi Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Harapan meraikan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah dalam PRK Mahkota dengan majoriti lebih besar semalam.
KLUANG:
Seorang pemimpin PKR Johor menyifatkan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah pada PRK Mahkota menunjukkan “pergeseran kecil” membabitkan pemimpin komponen kerajaan perpaduan tertentu boleh diatasi dengan tawaran agenda lebih besar.

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata majoriti pengundi Mahkota memilih agenda besar untuk pembangunan dan tidak terlalu terpengaruh kontroversi isu pensijilan halal antara Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kita sediakan agenda lebih besar berbanding perkara kecil (kontroversi Akmal-Kok) yang boleh dibincangkan dan mengelakkan kita berpecah.

“Rakyat dah muak tengok pergeseran kecil…jadi kita (kerajaan perpaduan) ambil sikap utamakan agenda lebih besar seperti tawar wakil rakyat lebih baik untuk bangunkan negara dan Johor. Itu yang rakyat mahu,” katanya kepada FMT.

BN mempertahankan DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar daripada 5,166 undi pada PRN 2022, walaupun peratusan keluar mengundi semalam hanya 53.84% berbanding 57% pada PRN lalu.

Syed Hussien mendapat 27,995 undi berbanding Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang sekadar memperoleh 7,347 undi.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN menewaskan calon PH, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada DAP berkata kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN yang mencipta kemenangan majoriti luar biasa itu boleh dipertimbangkan untuk diteruskan pada PRU16.

“Kerangka formula kerajaan perpaduan ini membolehkan kita bekerjasama lebih rapat bagi memberi perkhidmatan terbaik di Johor atau persekutuan. Tetapi, keputusan bergantung kepada pimpinan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.