
PETALING JAYA: Reman terhadap seorang mudir sebuah sekolah agama yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) disambung tiga hari hingga Rabu ini.
Perintah sambung reman terhadap suspek berusia 66 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Machang, menurut Harian Metro.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Suspek diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Zuraidah Abdul Aziz.
Terdahulu media melaporkan mudir berkenaan direman selama empat hari bermula 26 September lalu sehingga hari ini.
Dia ditahan pada 25 Sept lalu selepas polis melakukan serbuan di Sekolah Rendah Integrasi Ikhwan di Pasir Puteh dan merampas 34 buku terbitan larangan berkaitan Abuya.