
Consilz Tan, felo Pusat Pendidikan Pasaran, berkata belanjawan tahun depan mesti bergerak melangkaui pemberian insentif kepada pembeli rumah kali pertama kepada menambah baik skim sewa beli, termasuk Skim Smart Sewa PR1MA.
“Untuk menjadikan skim ini lebih mudah diakses dan menarik, kerajaan harus memudahkan prosedur permohonan, meningkatkan ketelusan, menawarkan kadar faedah yang kompetitif dan menggalakkan penyertaan yang lebih meluas daripada institusi kewangan,” katanya kepada FMT.
“Kerajaan juga harus menyediakan insentif cukai, seperti kredit cukai untuk kerugian yang ditanggung di bawah Skim Smart Sewa, perlindungan cukai ke atas pembiayaan hutang dan subsidi tersirat kepada bank untuk mengurangkan kos operasi.”
Menerusi belanjawan 2024, kerajaan memberi tumpuan kepada memulihkan projek perumahan terbengkalai, meningkatkan bekalan rumah mampu milik dan menggalakkan pembaharuan bandar.
Dana jaminan khas RM1 bilion diperuntukkan untuk memberi insentif kepada pemaju menghidupkan semula projek terbengkalai terpilih, manakala RM2.47 bilion dan RM385 juta masing-masing diperuntukkan untuk 36 projek perumahan awam dan 14 pembangunan Rumah Mesra Rakyat.
Skim Jaminan Kredit Perumahan juga menerima tambahan RM10 bilion pada 2024, memanfaatkan 40,000 peminjam, meningkat daripada RM5 bilion pada 2023.
Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharap kerajaan akan mengekalkan sokongannya kepada pembeli rumah kali pertama.
Ia mencadangkan pembeli rumah kali pertama dibenarkan menikmati potongan cukai ke atas faedah yang ditanggung semasa tempoh pembinaan atau pelepasan cukai peribadi sebanyak RM20,000 ke atas hartanah berharga sehingga RM500,000.
“Pembeli rumah juga perlu diberikan pelepasan cukai sekali sahaja berjumlah RM30,000 untuk hartanah berharga sehingga RM500,000,” tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong, berkata kerajaan juga perlu melihat ke arah melindungi hak pemilik yang hartanahnya tertakluk kepada pembangunan semula.
Beliau berkata kerajaan boleh mengembalikan semula syarat sebelum ini iaitu pemaju mendapatkan persetujuan semua pemilik hartanah yang terjejas. Ambang itu diturunkan kepada 80% semasa pengumuman Belanjawan 2024.
“Walaupun HBA menyokong pembangunan semula bandar, kami menentang cadangan semasa bagi ambang persetujuan 80% untuk projek tersebut, kerana ia melanggar hak harta yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.”