
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menarik perhatian kepada perkembangan itu selepas BN memenuhi ramalan penganalisis, dengan majoriti 20,648 undi iaitu empat kali ganda lebih besar berbanding PRN 2022 iaitu 5,166 undi.
Terdapat 66,318 pemilih berdaftar sempena PRK DUN Mahkota.
“Meskipun dengan kemenangan besar ini dan sokongan yang kuat daripada semua kaum terhadap calon perpaduan, DAP mengambil perhatian yang serius dengan peratusan mengundi yang rendah dari kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan.
Loke berikrar pucuk pimpinan DAP akan terus berusaha untuk memberi penerangan yang jelas di peringkat akar umbi untuk menyakinkan penyokong berkenaan agenda dan hala tuju kerajaan perpaduan.
“Namun, semua parti dalam kerajaan perpaduan perlu berusaha menjaga keharmonian dalaman dan mengeratkan talian kerjasama demi mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” tambahnya.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mendakwa menerima laporan daripada komuniti perniagaan bahawa pengundi Cina di kawasan itu kurang berminat untuk mengundi kali ini.
Sepanjang dua minggu kempen, jentera kerajaan perpaduan dilihat sedikit terkesan susulan pertelingkahan antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok membabitkan isu pensijilan halal.
Penganalisis berkata kelantangan Akmal dalam mengkritik Kok telah mencetuskan rasa tidak selesa pengundi Cina, malah mewujudkan sentimen enggan keluar mengundi dalam kalangan komuniti itu.
Malam tadi, calon BN peroleh 27,995 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional yang hanya meraih 7,347 undi.