MB Pahang seru rakyat nilai kerajaan berdasar fakta bukan auta

MB Pahang seru rakyat nilai kerajaan berdasar fakta bukan auta

Wan Rosdy Wan Ismail mempersoalkan pembangkang yang mendakwa pentadbiran negeri lembik sedangkan prestasi kerajaan boleh dilihat dan bukan omong kosong.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata ketika PRU15 naratif memburukkan kerajaan oleh pembangkang sangat kuat sehingga mempengaruhi pemikiran pengundi ketika itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat diminta melihat prestasi pentadbiran kerajaan hari ini melalui data dan fakta, bukan berpandu naratif auta sering dimainkan pembangkang.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ketika PRU15 naratif memburukkan kerajaan oleh pembangkang sangat kuat sehingga mempengaruhi pemikiran pengundi ketika itu.

“Lihat sekarang, sebagai contoh kita menyediakan perumahan untuk rakyat demi kesejahteraan mereka daripada hasil negeri yang sangat memberangsangkan.

“Cuba lihat negeri lain (ditadbir pembangkang) tiada apa yang boleh dicontohi…kita (sebaliknya) buktikan apa kita buat.

“(Sebagai contoh) semalam jumlah keseluruhan hak milik yang diluluskan kerajaan negeri Pahang bagi Felcra Kerdau 1, 2, 3 dan 14 dan Skim Tanah Rakyat di Temerloh sebanyak 1,465 hak milik dan kelulusan tanah diberikan ini untuk kegunaan pertanian dan bangunan (kediaman), untuk tanah pertanian seluas antara 0.5 hingga 3 ekar,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau ditemui dalam majlis penyerahan kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4, Lipis.

Sementara itu, Wan Rosdy mempersoalkan pembangkang yang mendakwa pentadbiran negeri lembik sedangkan prestasi kerajaan negeri boleh dilihat dan bukan sekadar omongan kosong seperti sering dimainkan pembangkang.

Memberi contoh 100 unit rumah PR1MA Pahang dan 25 unit RRP Fasa 4 yang diserahkan kepada penerima hari ini, katanya ia bukti komitmen kerajaan negeri membahagiakan rakyat apabila menawarkan kediaman pada harga RM150,000 lebih rendah berbanding pasaran biasa iaitu kira-kira RM300,000.

“Di Tanjung Gahai kita serahkan 30 unit Rumah Makmur berharga RM80,000…bantuan rumah ini usaha berterusan kerajaan kerana ini keperluan asas rakyat, kerajaan terus membantu sebaik mungkin tetapi kestabilan politik dan pendapatan hasil negeri perlu dalam situasi baik.

“Bila keadaan pendapatan negeri baik, ia akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan pelbagai kemudahan, bilangan penduduk pun bertambah dan keperluan rumah pun amat diperlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.