LZS sahkan GISBH tak pernah bayar zakat

LZS sahkan GISBH tak pernah bayar zakat

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun berkata GISBH tidak tercicir diberikan dakwah kutipan daripada LZS.

gisb
Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun berkata pihaknya tidak dapat menganggarkan jumlah zakat perlu dibayar GISBH kerana tiada maklumat aset dan liabiliti kumpulan itu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bukan saja tidak membayar cukai, kumpulan itu dan 20 anak syarikatnya juga tidak pernah membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), kata Ketua Divisyen Kutipannya, Muhd Fikri Naim Harun.

“Saya boleh sahkan selepas semakan dibuat, GISBH termasuk anak-anak syarikat tersenarai di bawahnya tidak pernah membayar sebarang zakat di LZS.

“Kita tidak dapat membuat anggaran jumlah zakat yang perlu dibayar memandangkan LZS tiada maklumat aset dan liabiliti syarikat tersebut untuk membuat kiraan,” katanya menurut Sinar Harian pada Karnival Zakat Selangor di Dataran Karnival pekarangan Stadium Shah Alam.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan.

Fikri berkata, GISBH tidak tercicir diberikan dakwah kutipan daripada LZS.

“Dakwah LZS pergi ke merata tempat dan tidak terkecuali ke syarikat di bawah GISBH untuk menjalankan dakwah kutipan. Cuma setakat ini masih tiada zakat yang diterima daripada syarikat tersebut.”

Menurutnya, di bawah peraturan zakat dan fitrah Enakmen Jenayah Syariah, seseorang individu dengan sengaja atau tidak membayar zakat kepada LZS boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000.

“Bagaimanapun, LZS tidak boleh menguatkuasakan undang-undang itu sekarang kerana dinasihatkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk meneruskan aktiviti dakwah.

“Kita masih mengekalkan ‘h’ di belakang dakwah sehingga dibenarkan menggugurkan ‘h’, kemudian barulah LZS boleh dakwa.”

Tutup premis, rampas aset

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata kerajaan negeri mengarahkan semua premis dan aset GISBH di Selangor ditutup serta dirampas.

Menurutnya, beliau sendiri akan mengumumkan jumlah premis, termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama berkaitan GISBH di negeri itu Rabu ini.

“Rumah perlindungan yang ada kaitan dengan GISBH memang kita arah tutup serta-merta, termasuk sekolah agama.

“Itu memang tindakan segera yang sedang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor dan polis. Kalau ada lagi maklumat, kita akan pergi (serbu dan tutup),” katanya menurut Bernama selepas melancarkan Rumah Idaman, Putra Idaman dan majlis pecah tanah Saujana Idaman di Cyberjaya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH dalam pelbagai aspek, terutamanya pendidikan yang menjadi keutamaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.