Ada najis tikus, dewan selera dan kafeteria MRSM Terendak diarah tutup

Ada najis tikus, dewan selera dan kafeteria MRSM Terendak diarah tutup

Exco Melaka berkata premis tersebut masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

Semalam Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki membuat lawatan mengejut ke MRSM Terendak selepas menerima laporan 48 pelajar mengalami simptom sakit perut. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan Dewan Selera dan kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak ditutup 14 hari berkuat kuasa semalam susulan penemuan najis tikus di lantai dewan makan tersebut.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata tindakan tersebut dilakukan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983 untuk langkah pembersihan serta pembetulan di samping kedua-dua premis tersebut masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

“Selain faktor kebersihan memandangkan ada bukti kehadiran tikus, dewan selera dan kafeteria itu juga ditutup kerana peti sejuk yang digunakan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Pihak koperasi juga diberikan arahan agar menghentikan dahulu jualan makanan siap bungkus daripada pembekal luar hingga siasatan selesai dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD),” katanya ketika dihubungi media.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mencadangkan beberapa katering daripada senarainya untuk membekalkan makanan kepada 663 pelajar di MRSM tersebut sepanjang tempoh penutupan itu.

Semalam, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki membuat lawatan mengejut ke MRSM Terendak selepas menerima laporan 48 pelajar di sekolah tersebut mengalami simptom sakit perut dipercayai keracunan makanan dan lapan daripada mereka dirawat di hospital namun telah dibenarkan pulang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dapur MRSM berkenaan berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus selain terdapat najis tikus dan pejabat kesihatan daerah telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan yang dikesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.