
Panel tiga hakim terdiri daripada Che Mohd Ruzima Ghazali dan Azizul Azmi Adnan serta Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan sebulat suara.
Ruzima berkata hakim Mahkamah Tinggi memperinci semua hujah yang dikemukakan ketika memutuskan untuk menolak permohonan bekas Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim dan bekas Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.
“Kami mendapati tiada sebarang kekhilafan yang dilakukan oleh Mahkamah Tinggi dan justeru itu, kami mengendors sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos guaman.
Zulkifli dan Afif mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Dis tahun lepas yang mengesahkan usul DUN dalam mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi.
Hakim Anand Ponnudurai memutuskan bahawa Zulkifli dan Afif hilang kelayakan untuk berada dalam DUN selepas mereka dipecat daripada PKR mengikut Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang yang melarang tindakan lompat parti.
Selepas dipecat daripada PKR, Zulkifli dan Afif menyertai Bersatu, yang menyebabkan usul dikemukakan agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.
Mahkamah sama memutuskan bahawa Perkara 14A tidak terpakai kepada bekas Adun Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang), kerana mereka tidak pernah meninggalkan parti itu.
Anand memutuskan bahawa Khaliq dan Zolkifly kekal sebagai Adun dari Mei 2018 hingga Jun tahun lepas, serta memerintahkan agar semua hak kewangan tertunggak yang layak mereka terima dibayar sehingga DUN Pulau Pinang bagi tempoh itu dibubarkan.
DUN Pulau Pinang dan Speaker Law Choo Kiang tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Anand mengenai Khaliq dan Zolkifly.
Keempat-empat bekas Adun memfailkan saman pemula memohon deklarasi mahkamah bahawa usul yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang pada 6 Mac tahun lepas agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing adalah batal dan tidak sah.
Mereka menamakan Law dan DUN Pulau Pinang sebagai defendan.
Keempat-empat mereka bertanding pada PRN 2018 menggunakan lambang PKR. Ketika itu Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan Bersatu.
Zulkifli dan Afif kemudian dipecat daripada PKR pada 2020. Bersatu meninggalkan PH pada 2020 dan membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional, PAS serta beberapa parti daripada Sabah dan Sarawak.
Pada prosiding hari ini, Azhar Azizan Harun dan Chetan Jethwani mewakili Zulkifli dan Afif selaku peguam, manakala AnSurendra Ananth mewakili Law dan DUN Pulau Pinang.