PU Azman dihantar ke Penjara Kajang, hakim tolak tangguh hukuman

PU Azman dihantar ke Penjara Kajang, hakim tolak tangguh hukuman

Hakim Noridah Adam berkata tiada keadaan khas bagi membolehkan penangguhan hukuman itu dibenarkan.

Pendakwah selebriti Azman Syah Alias didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Klang atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendakwah selebriti Azman Syah Alias diperintahkan terus menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan di Penjara Kajang bermula hari ini selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Terdahulu Azman atau lebih dikenali sebagai PU Azman dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Noridah Adam menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan permohonan dibenarkan, lapor Berita Harian.

“Permohonan peguam menangguhkan hukuman ditolak kerana tiada keadaan khas yang dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati Mohamad berkata, tiada keistimewaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dalam kes terbabit selepas mengambil kira kesalahan jenayah sudah dibuktikan.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman memohon hukuman tersebut ditangguhkan kerana anak guamnya adalah pesalah pertama dan masih berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah lain.

Azman turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Zahid berkata pihak pembelaan akan memfailkan rayuan berkaitan hukuman itu di Mahkamah Tinggi secepat mungkin.

“Kami semestinya akan membuat rayuan. Semua proses akan dibuat di Mahkamah Tinggi Klang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.