Polis jejak transaksi kewangan, aset GISBH

Polis jejak transaksi kewangan, aset GISBH

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis juga mengesan akaun beberapa syarikat dan peribadi milik individu tertentu yang dikaitkan dengan GISBH.

gisb
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata individu penting yang dipercayai berperanan menguruskan aliran wang GISBH ditahan di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu lalu. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Polis menjejaki transaksi kewangan dan aset milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dalam negara, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata proses berkenaan mengambil masa kerana bergantung kepada siasatan terhadap individu ditahan dan maklumat risikan yang diperoleh.

“Proses menjejaki dana milik GISBH sedang berjalan termasuk mengesan akaun beberapa syarikat berkaitan serta akaun peribadi milik individu tertentu sama ada ahli GISBH atau orang luar.

“Setakat ini, sebahagian besar aset GISBH sudah disita melalui serbuan-serbuan yang dijalankan sebelum ini menerusi Fasa 1 hingga Fasa 4,” katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata hasil pemantauan mendapati hampir semua premis berkaitan GISBH tidak lagi beroperasi susulan serbuan besar-besaran dijalankan, selain dipengaruhi pendedahan kegiatan organisasi itu oleh sebuah akaun media sosial yang mendakwa terlibat dalam membuat kajian ajaran sesat.

“Susulan pendedahan itu, kepercayaan masyarakat semakin terhakis dan kita percaya selepas itu perniagaan rangkaian GISBH mula merudum.

“Polis sedang mengumpul seberapa banyak maklumat bagi melengkapkan siasatan selain mengalu-alukan sebarang laporan daripada bekas ahli GISBH dan mangsa,” katanya.

Pada 23 Sept lepas, Razarudin dilaporkan berkata sebanyak 138 akaun berkaitan GISBH dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94.

Selain itu, 15 lagi akaun ditutup manakala 22 kereta pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan, turut dibekukan.

Dalam perkembangan lain, Razarudin mengesahkan individu penting yang dipercayai berperanan menguruskan aliran wang GISBH ditahan dalam Op Global Fasa 4 di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu lepas.

“Siasatan susulan masih dijalankan terhadap individu itu bersama beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya dan kita akan jejak segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.