Malaysia usaha alternatif boleh baharu jana tenaga, kata Fadillah

Malaysia usaha alternatif boleh baharu jana tenaga, kata Fadillah

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata negara perlu beralih daripada penggunaan arang batu dan melabur dalam teknologi baharu.

solar farm
Fadillah Yusof berkata Malaysia pada masa ini memberikan tumpuan pada tenaga solar, cara terpantas untuk segera beralih daripada bahan api fosil. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Ketika Malaysia bersiap sedia menerima kemasukan besar-besaran pusat data, yang dijangka memerlukan tenaga yang juga besar, penting bagi negara kekal teguh dalam komitmen alam sekitar dengan mengutamakan tenaga boleh baharu dan mengguna pakai amalan mampan.

Negara dijangka memperoleh pendapatan RM3.6 bilion daripada pusat data menjelang 2025, apabila syarikat teknologi gergasi seperti Microsoft, Amazon Web Services dan Google bertapak di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di persidangan teknologi berasaskan internet dan pusat data pada Ogos.

Perkara ini dilihat bagus untuk ekonomi, tetapi Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata, terdapat impak daripada ledakan teknologi ini yang perlu diringankan, terutama dari segi penggunaan tenaga, kerana sebahagian besar tenaga elektrik di Malaysia masih dijana menggunakan bahan api fosil.

“Pertama sekali, kita perlu pastikan bekalan terjamin…(bahawa) akan ada bekalan tenaga yang berterusan untuk rakyat dan perniagaan,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

“Yang kedua, ia perlu mampan. Kita perlu beralih kepada tenaga boleh baharu. Ketiga, (kosnya) mesti berpatutan, itulah sebabnya kita perlu melihat semua campuran dari segi tenaga dan sebagainya.”

Beliau berkata, buat masa ini Malaysia memberikan tumpuan pada tenaga solar, cara terpantas untuk segera beralih daripada bahan api fosil.

Katanya, kuasa solar hanya membekalkan tenaga selama lima jam, jadi ia perlu ditampung dengan simpanan bateri.

“Menjelang 2030, ada antara loji arang batu kita akan berhenti beroperasi, jadi kita perlu beralih kepada gas sebagai sumber tenaga, termasuk hidrogen dan sebagainya.

“Kita perlu melabur dalam semua ini untuk memastikan bekalan tenaga berterusan dan pada masa sama, mematuhi komitmen iklim dan alam sekitar,” katanya menambah, negara menyasarkan mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Fadillah berkata, walaupun penjanaan kuasa masih menguntungkan, kos menjalankan perniagaan semakin meningkat.

“Ini memberi kesan kepada seluruh dunia sebenarnya, bukan hanya Malaysia. Bagaimanapun, tarif Malaysia masih antara paling murah, sebab itu ramai yang melabur di sini.

“Syarikat multinasional seperti Microsoft dan Google (antara yang melabur). Kita berdaya saing dan mempunyai sistem perundangan yang tersusun. Kita sangat telus dari segi penjanaan kuasa.

“Dari segi tarif, syarikat-syarikat tahu kos yang mereka perlu bayar,” katanya

Sementara itu, Fadillah berkata sebahagian peranannya adalah untuk mengkaji penaiktarafan grid tenaga di seluruh negara.

“Ini juga terpakai bagi Asean, kerana kita akan memerlukan satu sama lain untuk mengekalkan penjanaan tenaga yang mampan,” katanya menegaskan tenaga mesti selamat dan terjamin.

Beliau juga berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat dalam teknologi baharu dan usaha menaik taraf talian penyampaian grid.

“Menjelang 2050, kita (menganggarkan) trilion, dari segi pelaburan,” katanya.

Menteri itu menekankan langkah penting baru-baru ini untuk meningkatkan kerjasama tenaga serantau, dengan Malaysia dan Indonesia setuju membentuk pasukan petugas bersama untuk menggiatkan inisiatif tenaga boleh baharu dan memajukan grid tenaga Asean.

Pasukan petugas itu akan meneroka kebolehlaksanaan industri hijau bersama antara Sarawak dan Kalimantan.

Anggotanya termasuk wakil Suruhanjaya Tenaga, Sarawak, dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), manakala delegasi Indonesia akan diketuai pegawai kanan Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan.

Pasukan petugas itu akan menyampaikan laporan komprehensif kepada Fadillah dan Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia Luhut Binsar Pandjaitan, menangani isu bekalan tenaga antara kedua-dua negara dengan tumpuan khusus pada tenaga boleh baharu.

Fadillah berkata, beliau akan berunding dengan kerajaan persekutuan dan Sarawak mengenai sebarang cadangan, sambil menegaskan pasukan petugas itu penting untuk meningkatkan kerjasama tenaga serantau.

“Kita sasarkan bukan sahaja untuk memajukan inisiatif ini pada peringkat dua hala tetapi juga dalam Asean, memastikan manfaat diluaskan melangkaui negara.

“Matlamatnya adalah untuk memupuk kerjasama dan sokongan bersama dalam kalangan semua negara Asean,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.