Kupas kes mahkamah Anwar, pemimpin Pejuang dipanggil ke Bukit Aman

Kupas kes mahkamah Anwar, pemimpin Pejuang dipanggil ke Bukit Aman

Muhammad Rafique Rashid Ali dipanggil memberi keterangan berhubung ucapannya pada ceramah sempena PRK Mahkota 21 Sept lalu.

Muhammad Rafique Rashid Ali (kiri) bersama Chegubard di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung ucapannya pada ceramah sempena PRK Mahkota 21 Sept lepas, yang mengupas beberapa fakta kes mahkamah membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Rafique, beliau disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau memberitahu media hari ini, pada ceramah tersebut, beliau ‘menerangkan’ fakta kes mahkamah Anwar dalam kapasitinya sebagai peguam, selepas perdana menteri itu mendakwa dirinya ‘banduan terhormat’.

“Paling penting, apabila saya mempunyai tanggungjawab sebagai peguam, saya perlu bangkit ke hadapan dan pertahankan sistem kehakiman seperti yang pernah dinyatakan oleh ketua hakim negara di Goa, India pada Mac 2023,” katanya di luar Bukit Aman.

Turut hadir ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, yang merupakan penganjur ceramah itu.

Rafique yang juga peguam bekas perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ucapannya sekadar memberikan penerangan kepada orang ramai, bukan berniat menghasut tindakan tidak wajar.

“Sekiranya ada orang itu berkuasa atau berada dalam kuasa berkata tidak benar, rakyat mempunyai hak untuk bersuara.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita ada hak untuk bangun dan menyatakan ia salah,” katanya.

Katanya, perdana menteri sebagai seseorang yang memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan ‘mencabar’ keputusan mahkamah atau menghina institusi kehakiman.

“Jika Anwar tidak berpuas hati dengan mahkamah, ambillah tindakan di mahkamah. Jangan gunakan isu itu sebagai permainan politik atau menjajanya di pentas politik,” katanya.

Ketika berucap pada 21 Sept lepas, Rafique mengupas beberapa fakta kes mahkamah Anwar, selain mempersoalkan tindakan perdana menteri itu menyifatkan tuduhan terhadapnya bersifat ‘zalim dan keji’.’

Menurut Rafique, kenyataan Anwar itu seolah-olah mengatakan lapan hakim yang terlibat membuat keputusan yang salah dalam kesnya.

Jumaat lalu, pada Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Anwar mengakui dirinya ‘banduan terhormat’ ketika menyelar tindakan pembangkang yang sering mengulangi statusnya ketika mengkritik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.