D9 semuka kumpulan dipercayai terlibat kes menyamar polis samun warga asing

D9 semuka kumpulan dipercayai terlibat kes menyamar polis samun warga asing

Salah seorang suspek dikenali dengan nama panggilan ‘Wira Tempang’.

Mohd-Iqbal-Ibrahim
Pasukan D9 bertindak selepas terima laporan kejadian samun seorang warga asing oleh sekumpulan individu menyamar polis, kata Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pasukan D9 menangkap lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun seorang warga asing oleh sekumpulan individu menyamar sebagai polis.

Tangkapan ini susulan laporan kejadian samun di sebuah flat di Seksyen 25, Shah Alam pada 19 Sept lepas, mengenai beberapa orang lelaki memukul dan merampas wang RM7,000 serta dua telefon bimbit milik mangsa.

“Salah seorang dari suspek dikenali dengan nama panggilan ‘Wira Tempang’,” kata Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D9 IPK Selangor bersama-sama D9 IPD Shah Alam tangkap lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut, pada 23 Sept lepas, di sekitar Shah Alam.

Kelima-lima tangkapan berumur antara 39 tahun hingga 54 tahun. Salah seorang dikenali dengan nama ‘Wira Tempang’, dan dia direman selama tujuh hari sehingga 30 Sept bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati semua suspek terlibat bukan anggota polis dan tiada penglibatan anggota polis dalam kejadian ini,” kata Iqbal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) iaitu rompak berkumpul, yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Ia juga disiasat bawah Seksyen 170 KK iaitu menyamari penjawat awam, yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.