
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lelaki warga Indonesia berusia 45 tahun itu dipercayai diculik di Salak Selatan, Cheras dan ditemukan selamat ketika operasi mengesan penjenayah terbabit.
“Mangsa sudah membuat laporan semalam di IPD Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi semalam, pasukan dari IPD Petaling Jaya menjalankan operasi mengesan suspek yang mempunyai 26 rekod jenayah dan dadah yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah serta kedai.
Suspek berusia 37 tahun itu yang ditembak mati selepas dilaporkan mengancam nyawa anggota polis, dipercayai terbabit menculik mangsa bersama dua rakan yang masih bebas.
Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan tiga parang, kapak, pemotong besi, dan kuku kambing (wrecking bar) yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.
Polis sedang memburu dua rakan suspek yang disyaki bersekongkol dalam kes pecah rumah dan kedai di Damansara, Petaling Jaya bagi membantu siasatan.